Antonio Conte mengakui Inter tidak memiliki ruang untuk membuat sebarang kesilapan memandangkan mereka berhasrat untuk "menjadi watak pengacau" bagi perlumbaan gelaran Serie A.

Kekalahan kepada pesaing Scudetto, Lazio dan Juventus, sebelum musim ini tergendala akibat COVID-19 Mac lalu memberi tamparan hebat kepada harapan Inter untuk merebut kejuaraan.

Nerazzurri menang ketika menentang Sampdoria hujung minggu lalu, tetapi ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu dan juara bertahan, Juve, meskipun berkelebihan satu perlawanan.

Begitupun, Conte masih tidak berputus asa dan berharap kemenangan menentang Sassuolo awal pagi esok dapat terus memberi tekanan besar kepada kedua-dua pasukan yang di atas mereka.

"Saya pernah berada dalam pelbagai situasi," katanya kepada Inter TV mengenai pemburuan gelaran.

"Mereka yang mendahului saingan menguasai nasib mereka sendiri, pasukan lain perlu mengambil langkah untuk menurutinya.

"Juventus dan Lazio tampil lebih baik daripada kami setakat ini dan hasilnya, mereka mempunyai lebih banyak ruang untuk melakukan kesilapan.



"Bagi kami, setiap perlawanan adalah kejayaan atau kehancuran. Kami ingin terus menjadi watak pengacau sehingga akhir musim ini."

Bekas pengurus skuad kebangsaan Itali itu sering melakukan rombakan terhadap skuadnya, namun dia menaruh kepercayaan terhadap anak-anak buahnya.

"Tempoh pemulihan yang singkat ditambahkan pula dengan cuaca panas: ini adalah situasi yang unik," katanya lagi.

"Kami akan berusaha memberikan rehat kepada pemain yang memerlukan dalam setiap perlawanan. Saya memiliki kepercayaan terhadap setiap tonggak dalam skuad ini: kami berharap tidak banyak dilanda kekecewaan, kami memerlukan semua pemain.

"Kami agak kurang pilihan di bahagian tengah, Matias Vecino mengalami masalah lutut dan kami berharap dia dapat kembali dengan segera."