Pemain Inter Milan, Keita Balde Diao, menegaskan pasukannya akan menuju ke Wembley untuk berdepan Tottenham Hotspur tanpa sebarang ketakutan selepas menewaskan Frosinone 3-0 dalam saingan Serie A, semalam.

Pengendali Inter, Luciano Spalletti, merehatkan beberapa pemain utama dan memberikan peluang buat Keita membuktikan keupayaannya dengan dua gol dan satu lagi daripada Lautaro Martinez.

Skuad Nerazzurri itu, yang tewas 1-4 di tangan Atalanta dalam perlawanan sebelum ini, kini mula mencongak aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Spurs sambil Keita sedar bahawa keputusan seri sudah memadai untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

"Ia tidak akan menjadi mudah kerana Spurs pasukan yang hebat tetapi kami akan hadir ke Wembley dengan penuh keyakinan," kata bintang Senegal itu.

"Kami adalah Inter dan tidak gentarkan sesiapa."

"Ia adalah detik indah buat saya dan seluruh pasukan. Ia merupakan aksi penting kami untuk mendapatkan kemenangan selepas tunduk dalam cabaran menentang Atalanta.

"Pastinya penting untuk kami mempercayai rakan sepasukan serta jurulatih. Saya bekerja keras dalam dua minggu terakhir ketika sesi latihan tanpa bersama skuad Senegal, membuatkan anda sendiri boleh menjelaskan bagaimana saya kembali ke tahap terbaik.

"Kami adalah pasukan terbaik dan walaupun ada yang tidak bermain, mereka tetap memberikan sokongan.

"Saya rasa dua gol adalah antara perkara paling emosi dalam karier. Menjaringkan gol di San Siro sememangnya hebat."