Inter Milan sah bergelar juara Serie A musim ini selepas pencabar terdekat, Atalanta, sekadar terikat 1-1 dengan Sassuolo di laman lawan malam tadi.

Skuad Nerazzurri itu menjulang Scudetto pertama sejak meraih gelaran 'treble' dalam musim 2009-10.

Skuad kendalian Antonio Conte itu mendominasi Serie A sejak awal tahun ini dan mendahului 13 mata berbanding seteru setempat, AC Milan.

Inter menewaskan Crotone semalam dan ia bermakna hanya kemenangan Atalanta ke atas Sassuolo dapat menangguhkan keraian mereka.

Atalanta mendahului satu gol hasil sentuhan Robin Gosens pada minit ke-32 selepas penjaga gol mereka, Pierluigi Gollini, terlebih dahulu dibuang padang, tetapi Domenico Berardi menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada tujuh minit pertama babak kedua.

Luis Muriel berpeluang menghidupkan kembali harapan Atalanta untuk mencabar kejuaraan apabila memenangi sepakan penalti selepas kekasaran yang turut menyaksikan Marlon Santos dilayangkan kad kuning kedua tetapi sepakannya diselamatkan Andrea Consigli.

Kejayaan Inter itu turut menyaksikan mereka menamatkan rekod kejuaraan selama sembilan musim berturut-turut milik Juventus.

Ia merupakan Scudetto ke-19 pasukan Nerazzurri itu dan memintas Milan di tangga kedua untuk berada di belakang Juve (36 gelaran).