JUVENTUS 1 INTER 0

Juventus menyamai rekod permulaan terbaik dalam semusim selepas 15 perlawanan Serie A dalam kalangan lima liga utama Eropah selepas menundukkan Inter dalam pertembungan 'Derby d'Italia', awal pagi tadi.


Jaringan tunggal Mario Mandzukic menerusi tandukan dalam babak kedua memastikan kemenangan 1-0 Juventus ke atas Nerazzurri untuk Juve melebarkan penguasaan di puncak dengan 11 mata berbanding Napoli dalam usaha mereka mengintai kejuaraan Scudetto kelapan berturut-turut.

Setelah mengumpulkan 43 mata daripada 15 perlawanan pembukaan, Juve menyamai rekod juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), yang dilakar awal bulan ini.

PSG memenangi 14 perlawanan terawal liga di bawah pengurus baru, Thomas Tuchel, sebelum keciciran mata buat julung kalinya ketika seri 2-2 di Bordeaux, Ahad lalu.

Juve kembali menemui rentak sejak diikat 1-1 oleh Genoa di Stadion Allianz, 20 Oktober lalu, dan sejak itu gawang mereka tidak dibolosi dalam rentetan lima perlawanan.

Kedua-dua pasukan kini berada di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran yang mereka menangi dengan mudah musim lalu, dengan kejayaan Eropah menjadi sasaran utama PSG dan Juve memandangkan mereka masih mendominasi saingan domestik masing-masing.

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui Inter telah mencetuskan masalah kepada pendahulu Serie A itu biarpun Nerazzurri ketinggalan 1-0.

"Inter menyebabkan kami mengalami masalah dalam babak pertama. Dengan adanya Joao Mario dan Gagliardini, kami berhempas-pulas untuk mengekang mereka," kata Allegri kepada Sky Sport Italia.

"Memang benar sebahagian besarnya adalah kerana kami kehilangan penguasaan dalam babak pertama.

"Saya memindahkan Mandzukic ke bahagian kiri, jadi Paulo Dybala dapat bermain lebih baik dan kami mempunyai prestasi yang sangat berbeza daripada segi intensiti dan tekanan. Kami menenggelamkan Inter dalam babak kedua dan kami kami mencipta beberapa peluang lagi.

"Matteo Politano meletakkan kami dalam tekanan, oleh itu saya merombak pertahanan kami untuk memanfaatkan keupayaan kami dan menutup ruang lawan. Cancelo sedikit bergelut dengan Politano dalam separuh pertama, terutama kerana peralihan posisinya.

"Kami kemudian berusaha untuk memperbaiki aspek bertahan Cancelo dan ia harus diakui bertambah baik.

"Saya meminta pemain saya agar membuat hantaran silang yang perlu menjauhi Milan Skriniar dan Joao Miranda kerana kami mahu menghukum kekurangan fizikal pertahanan kiri dan kanan mereka. Ini adalah hantaran lintang yang baik untuk mencari Mandzukic."

Sementara itu, pengurus Inter, Luciano Spalletti, kecewa dengan ketidakupayaan pasukannya memanfaatkan bola dengan baik sambil mempertahankan prestasi kapten dan bintang penyerang, Mauro Icardi.

"Seseorang pemimpin itu sudah tentu perlu membuat perbezaan, namun kami membuat terlalu banyak kesilapan mudah," kata Spalletti kepada Sky Sport Italia.

"Ada satu detik itu, kami sudah melolosi pertahanan mereka tetapi kami gagal menghantar bola ke hadapan. Itu boleh menjadi perbezaan tatkala kami bergelut untuk menampilkan aksi konsisten selama 90 minit.

"Sering ada pemain yang pergerakannya terlalu lembab, yang bercakap terlalu banyak, yang cuai dan tidak serasi dengan yang lain.

"Sayang sekali, Juve pintar dan kami naif. Mereka mempunyai cara untuk melengahkan masa selama lima minit selepas dikasari.

"Icardi melakukan apa yang perlu sepatutnya. Dia berlari deras dan bersikap jujur pada ​​malam ini, lebih baik berbanding dalam perlawanan lain, dengan menghambat bola dan membantu bahagian tengah," katanya.