Ketua jurulatih Inter Milan, Luciano Spalletti, percaya dia mempunyai skuad yang mampu memenangi Serie A jika mereka boleh mengelakkan kehilangan besar semasa jendela perpindahan Januari ini.

Skuad Nerazzurri akan menentang Verona, awal pagi nanti, dan sedar kemenangan dalam perlawanan itu akan membawa mereka ke tempat kedua bagi memintas Lazio dan Juventus, hanya dua mata di belakang pimpinan Napoli.

Inter belum merasai kekalahan dalam liga musim ini dan Spalletti berpendapat mereka mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk memenangi Scudetto pertama sejak musim 2009-10, jika dia boleh mengekalkan skuadnya.

"Bahagian yang sukar kini hadir kerana kami perlu kekalkan kumpulan ini di puncak liga," katanya dalam persidangan media sebelum perlawanan.

"Kami kini sedar sama ada kami mempunyai sumber untuk mencapai matlamat kami. Jika kami lihat ada sesuatu yang diperlukan, kami akan lihat pada Januari nanti tetapi tidak ada gunanya hanya demi kepentingan itu. Saya gembira dengan pemain saya.

"Apabila anda bertanya kepada saya mengenai jendela perpindahan Januari, saya lebih bimbang seseorang meninggalkan pasukan. Saya fikir skuad ini, seperti ini, boleh mengharungi laluan kami," katanya.