Maurizio Sarri berkata beliau tidak mampu menggilirkan Lorenzo Insigne kerana “pemain berkelas dunia” itu terlalu penting buat Napoli susulan kemenangan mereka dalam Liga Juara-Juara.

Insigne menyumbat satu gol memukau untuk memacu Napoli dalam kemenangan 3-0 di halaman sendiri ke atas Shakhtar Donetsk dalam Kumpulan F, awal pagi tadi.

Ditakrifkan sebagai “lebihan” dalam kempen kelayakan Itali dalam Piala Dunia yang gagal, Insigne meledakkan jaringan ketika berdepan AC Milan dalam Serie A hujung minggu lalu dan mengulanginya ketika Napoli menangani tentangan Shakhtar.

“Ini adalah Lorenzo. Dia telah banyak meningkat sepanjang tiga tahun lalu untuk menjadi seorang pemain berkelas dunia yang saya fikir perlu diketepikan daripada penggiliran hanya kerana dia terlalu penting,” Sarri memberitahu Mediaset Premium.

“Kami boleh memberikannya rehat untuk 20 minit terakhir tapi untuk mengetepikannya daripada kesebelasan permulaan – saya tidak dapat melakukan itu.”

Kemenangan awal pagi tadi meningkatkan harapan Napoli untuk mara ke peringkat kalah mati.

Napoli kini di tangga ketiga Kumpulan F tapi hanya ketinggalan kepada Shakhtar di tangga kedua dengan tiga mata dengan baki satu perlawanan manakala Manchester City mendahului carta dengan kelebihan enam mata.

“Kami mahukan tiga mata walau apa pun,” kata Insigne. "Kami tahu ia tidak hanya bergantung kepada kami tapi kami harap City akan mengalahkan Shakhtar dan kami boleh meraih mata daripada Feyenoord di tempat lawan.”

Mengenai Sarri, Insigne – yang digugurkan oleh bekas ketua jurulatih Itali, Gian Piero Ventura, untuk play-off Piala Dunia, menambah: “Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana dari hari pertama lagi, dia sentiasa menaruh kepercayaan kepada saya dan saya cuba membalasnya dengan prestasi, gol-gol dan bantuan jaringan.

“Saya tidak akan berhenti menawarkan diri saya kepada jurulatih pada mana-mana detik dalam perlawanan.”