Ketua jurulatih Napoli, Maurizio Sarri, tidak akan menghukum Lorenzo Insigne berikutan reaksinya ketika dikeluarkan dalam aksi kekalahan 2-1 kepada Juventus untuk kempen Serie A pada Sabtu lalu.

Pemain Itali itu jelas berang ketika digantikan oleh Emanuele Giaccherini pada minit ke-61 di Stadium Juventus.

Sehubungan itu, Insigne dilaporkan telah memohon maaf kepada jurulatihnya dan kembali berlatih seperti biasa, sekali gus memberi bayangan bahawa dia akan tampil dalam kempen Liga Juara-Juara menentang Besiktas di Istanbul.

Sekalipun Sarri tidak menolak hukuman bakal dikenakan oleh kelab ke atas pemain terbabit, namun beliau menegaskan tidak akan menghukum tindakan kurang bijak Insigne itu secara peribadi.

"Jika kelab memutuskan untuk mendendanya, maka kami akan berbuat demikian," katanya pada sidang media. "Tidak akan ada hukuman peribadi yang akan dikenakan. Saya tidak memendam dendam, saya hanya melakukan apa yang terbaik untuk pasukan.

"Saya membuat keputusan demi kebaikan pasukan, saya tidak akan dipengaruhi tindakan-tindakan kurang bijak daripada pemain muda."

Selepas tiga perlawanan, Napoli kini mengungguli Kumpulan B dengan satu mata dipisahkan dengan Besiktas, selepas dikejutkan dengan kekalahan 3-2 kepada juara Super Lig itu di San Paolo dalam aksi terdahulu.

"Kami melakukan kesilapan dalam aksi pertama. Jelas sekali kami perlu mengelak kesilapan sebegitu yang memberikan mereka pendahuluan 2-1," kata Sarri.

"Saya gembira dapat beraksi di stadium yang penuh bersemangat, ia satu keseronokan buat semua orang. Pasukan ini memiliki personaliti dan membuktikannya di Turin, di mana kami tidak panik dan mencetuskan lebih banyak masalah berbanding lawan kami.

"Kami perlu mengelak kesilapan sebegitu. Di Turin, kami memberikan aksi bertahan terbaik. Kami lebih banyak melakukan asakan dan tidak memberi banyak ruang.

"Mereka belum dikalahkan di Turki dan Eropah, maka kami perlu lebih gusar dengan kekuatan mereka berbanding suasananya (di Istanbul). Kami sudah bersedia."