ITALI 2 BOSNIA-HERZEGOVINA 1

Lorenzo Insigne memacu Itali bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Bosnia-Herzegovina dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Turin, awal pagi tadi.


Bintang Napoli itu melakukan voli gemilang untuk menyamakan kedudukan selepas waktu rehat sebelum membantu jaringan kemenangan Marco Verratti pada minit ke-86 untuk skuad kendalian Roberto Mancini itu mengekalkan rekod lima kemenangan berturut-turut.

Edin Dzeko mencuri tumpuan awal selepas menjaringkan gol pendahuluan pelawat pada minit ke-32 -- rekod bolos pertama Azzurri sejak Oktober lalu -- dan prestasi itu sepatutnya mampu memberikan mereka sekurang-kurangnya satu mata.

Namun, ia tidak cukup bagus dan mengakibatkan skuad kendalian Robert Prosinecki itu terperosok ke tangga kedua tercorot Kumpulan J tatkala Itali melakarkan kemenangan bersih untuk berada di puncak dengan 12 mata.

Dengan tekanan yang diberikan sejak awal permainan, Bosnia sepatutnya di depan pada minit ke-18 jika pertahanan Itali, Leonardo Bonucci, tidak bertindak bijak untuk merebahkan badan bagi menghalang percubaan Edin Visca yang hampir melintasi garisan gol.

Dzeko, bagaimanapun, tidak membiarkan kesilapan sama berulang apabila kapten pasukan itu memanfaatkan hantaran Visca yang meloloskan diri daripada kawalan pertahanan lawan.

Namun, Itali bangkit dengan bergaya dalam babak kedua dengan hanya tiga minit diperlukan Insigne untuk melakukan voli yang melepasi penjuru kiri bawah gawang lawan selepas menerima bola sepakan sudut Federico Bernardeschi.

Bosnia kemudian bangkit memberikan ancaman dengan Giorgio Chiellini terpaksa bekerja keras untuk menghalang tandukan Eldar Civic sebelum penjaga gol Itali, Salvatore Sirigu, menggagalkan percubaan Visca.

Kehebatan Chiellini dalam perebutan bola di udara hampir memberikan habuan buat Itali pada minit ke-72, namun Ibrahim Sehic gagal menempatkan diri di posisi terbaik.

Insigne kemudian menghasilkan hantaran yang menemui Verratti dalam kotak penalti sebelum penyerang itu menghasilkan penyudah lencong untuk memutlakkan kemenangan Itali.