Insigne enggan bandingkan Messi dengan Maradona

Oleh Staff Writer 25 Februari 2020 101
Insigne enggan bandingkan Messi dengan Maradona
Lorenzo Insigne tidak berminat untuk membandingkan Lionel Messi dengan Diego Maradona menjelang pertemuan Napoli dan Barcelona awal pagi esok sambil berkata Maradona merupakan sesuatu yang suci buat skuad Neapolitan itu.

Messi dan Barcelona akan berkunjung ke Stadium San Paolo -- di mana Maradona pernah membintangi pasukan itu dalam era 1980-90an -- bagi perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Seperti Maradona, Messi juga diiktiraf sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman tetapi Insigne enggan membanding-bandingkan dua legenda Argentina itu.

"Saya pernah ditemu bual dan saya katakan Messi adalah pemain terbaik di dunia," katanya dalam sidang media.

"Bagaimanapun, saya enggan membandingkannya dengan Maradona, yang merupakan segala-galanya buat kami.

"Saya tidak mahu membandingkannya.

"Maradona merupakan sesuatu yang suci buat Neapolitan dan segala penghormatan buat Messi, yang merupakan pemain terbaik ketika ini," katanya.
 

Walaupun dilanda kontroversi di luar padang, Barca masih menerajui carta LaLiga dan akan turun dalam penentuan pusingan 16 itu sebagai pasukan pilihan.

Bagaimanapun, Insigne berasakan Napoli hanya perlu menumpukan terhadap persiapan mereka menjelang pertemuan pertama itu.

"Saya tidak tahu apa masalah yang sedang dihadapi Barcelona.

"Saya hanya membacanya seperti orang lain.

"Saya fikir selepas Messi menjaringkan empat gol ke atas Eibar, mereka tiada sebarang masalah.

"Kami tidak perlu memikirkan tentang mereka.

"Kami hanya perlu memikirkan tentang diri kami.

"Mereka perlu mempamerkan persembahan terbaik dari mula hingga akhir, itu sahaja," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen