Andres Iniesta menegaskan dia tidak akan terluka sekiranya bekas rakan sepasukan di Barcelona, Neymar, menyertai seteru ketat mereka dalam LaLiga, Real Madrid.

Neymar meninggalkan Camp Nou pada 2017 selepas empat musim penuh gemilang di samping Iniesta di Barca yang menyaksikan mereka memenangi dua gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) sebelum penggempur itu menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dengan bayaran rekod dunia €222 juta (RM1.05 bilion).

Bintang Brazil itu secara konsisten telah dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid sejak tiba di Perancis dan Iniesta -- yang meninggalkan Barca untuk menyertai pasukan Jepun, Vissel Kobe, pada Mei lalu -- tiada masalah jika perpindahan itu berlaku.

"Ia tidak akan menyakiti saya kerana ia tidak boleh disekat jika ia ditakdirkan," katanya kepada Cadena SER.

"Madrid akan memantapkan pasukan dengan pemain yang unik."

Iniesta tidak membayangkan Neymar akan kembali ke Barca sambil percaya bekas kelabnya itu bertindak balas dengan baik ekoran kehilangan salah seorang penyerang bintang.

"Sudah tentu, Neymar akan terus menjadi salah seorang pemain terbaik dalam mana-mana pasukan diwakilinya kerana dia akan membuat perbezaan tetapi tidak mudah untuk kembali," katanya.

"Barcelona mempunyai pemain yang unik dan saya melihatnya sebagai calon untuk memenangi semua gelaran.

"Barca telah memantapkan pasukan dengan baik musim ini dengan kehadiran pemain seperti (Philippe) Coutinho yang telah menyesuaikan diri dengan baik. Saya melihat sebuah pasukan yang cukup ampuh."