Andres Iniesta menerima hakikat Barcelona tidak mampu menghasilkan generasi emas dan dia tidak melihat punca skuad akan datang gagal menyamai kejayaan mereka.

Pemain tengah, Iniesta, merupakan salah seorang bintang terkemuka dunia yang hadir menerusi akademi La Masia bersama Lionel Messi, Xavi, Carles Puyol, Gerard Pique dan Sergio Busquets.

Ia memberikan pulangan besar buat The Blaugrana, memenangi empat trofi Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh sembilan tahun sambil mendominasi saingan domestik.

Walaupun menduduki tangga teratas LaLiga sebelum saingan ditangguhkan akibat coronavirus, mereka yang mengikuti jejak langkah Iniesta dalam akademi gagal menyamai pencapaian cemerlang itu.

Mengakui kelab itu tidak akan dapat menghasilkan kelompok berbakat seperti tempohnya sebelum ini, Iniesta tetap percaya Barca mampu memenangi trofi.

"Generasi tidak akan sama tetapi ia tidak semestinya menjadi lebih teruk berdasarkan prestasi pasukan," katanya.

"Saya pernah menyaksikan Puyol pergi, kemudian Victor Valdes sebelum Xavi turut mengambil langkah sama. Perjuangan harus diteruskan dan anda masih memiliki skuad hebat di sekeliling anda."

Iniesta meninggalkan Barca, kelab tunggal yang diwakilinya di Eropah, pada 2018 selepas melakukan 650 penampilan.


Pemain berusia 35 tahun itu masih beraksi buat Vissel Kobe dalam Liga Jepun tetapi tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Camp Nou satu hari nanti.

"Pada waktu ini, saya cuba melanjutkan karier selagi boleh dan mahu menendang bola lebih lama kerana ia membuatkan saya gembira," tambahnya.

"Saya memiliki kontrak sehingga 2021 tetapi masih berusaha pada setiap penghujung musim dan saya rasa bagus serta bermotivasi. Saya mahu terus bermain dan berbesar hati berada di sini."