Kapten Barcelona, Andres Iniesta, memuji aksi hebat Lionel Messi selepas bintang Argentina itu membantu Barca melepasi halangan Chelsea untuk ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Messi mencatat jaringan ke-100 peribadi dalam saingan Liga Juara-Juara apabila menjaringkan dua gol untuk mengemudi Barca meraih kemenangan 3-0.

Dia juga memainkan watak utama dalam menghasilkan satu lagi gol apabila membuka ruang buat pemain sayap, Ousmane Dembele, menjaringkan gol kedua perlawanan.

Iniesta yang sebelum ini dilaporkan bergelut dengan masalah kecederaan paha, menghamburkan pujian susulan aksi hebat rakannya itu.

"Ia adalah sesuatu yang sering diperkatakan. Messi mencipta perbezaan dalam setiap aksi. Ia sangat hebat.

"Saya berharap agar kami dapat melangkah lebih jauh dalam saingan kali ini dan kini melangkah ke satu lagi peringkat," ujar Iniesta kepada beIN SPORTS.

Kemenangan itu menyaksikan Barca menempah tiket ke suku akhir buat kali ke-11 berturut-turut, sekali gus mencatat rekod baru dalam kejohanan.

Dia juga percaya skuad kendalian Ernesto Valverde itu mampu mencapai tahap terbaik untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam -- dan kali pertama sejak 2015 -- pada musim ini.

"Untuk menjuarai kejohanan ini, ia sentiasa memerlukan motivasi tinggi walaupun sukar. Aksi yang buruk akan menyingkirkan anda.

"Cabarannya adalah untuk mengurangkan setiap kesilapan kerana kami mempunyai kelompok pemain yang berada di tahap terbaik untuk melakukannya," katanya.