Andres Iniesta mahu Lionel Messi mengikut jejak langkahnya dengan menandatangani kontrak baru di Barcelona "pada kadar segera".

Pemain tengah Sepanyol itu telah mencapai persetujuan untuk kontrak sepanjang hayat bersama kelab itu semalam, yang melanjutkan perkhidmatannya bersama gergasi Catalan itu sejak menyertainya pada 1996.

Kontrak asalnya bakal berakhir pada penghujung musim ini, sama seperti kontrak Messi, dengan masa depan pemain Argentina itu menjadi topik perbualan hangat dan dilihat bakal meninggalkan Sepanyol.

Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu, sebelum ini telah mencapai persetujuan bersama Messi dan bakal mendapatkan tandatangannya tidak lama lagi.

Iniesta percaya Messi mahu kekal bersama pasukan dan bakal membuat pengumuman tidak lama lagi.

"Saya percaya perbincangan untuk memastikan Messi kekal bersama pasukan telah dilakukan dengan rapi.

"Kelab mahu Messi terus bersama pasukan, dia juga mahu terus bermain untuk kelab ini. Saya berharap kisah Messi di Barca tidak akan berakhir.

"Dia seorang yang unik, kami tidak boleh hidup tanpanya dan kelab turut melihat perkara yang sama. Masa akan menentukannya tetapi saya berharap dia akan memperbaharui kontraknya tidak lama lagi," katanya.