Samuel Eto'o percaya Andres Iniesta adalah pemain yang lebih hebat berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dan berpendapat kapten Barcelona itu sepatutnya menerima anugerah Ballon d'Or untuk beberapa kali.

Iniesta kembali selepas diketepikan selama sebulan ekoran masalah kecederaan dalam aksi yang berkesudahan seri 1-1 dengan Real Madrid di Nou Camp.

Eto'o dan Iniesta bersama-sama meraih tiga kejuaraan LaLiga dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bersama Barcelona dan bekas pemain kebangsaan Cameroon itu berpendapat arena bola sepak tidak bersikap adil dengan bekas rakan sepasukannya itu.

"Pada saya, Messi merupakan pemain yang lebih hebat," Eto'o memberitahu Telefoot. "Dia seperti anak saya. Saya melihat sendiri ketika dia tiba di kelab mengagumkan ini.

"Tetapi saya memilih Iniesta. Dunia bola sepak bersikap tidak adil terhadapnya.

"Dia sepatutnya menerima tiga atau empat anugerah Ballon d'Or. Dia seorang pemain yang menakjubkan."

Sementara itu, Eto'o yang ketika ini beraksi di Turki bersama Antalyaspor, enggan menolak dakwaan bahawa dia bakal berhijrah ke Ligue 1 untuk menyertai Marseille.

Pemain berusia 35 tahun itu turut menepis khabar angin bahawa dia akan kembali daripada persaraan untuk mewakili Cameroon dalam Piala Negara-Negara Afrika.

"Kita tunggu dan lihat," katanya tentang penghijrahan ke Marseille."Saya tidak boleh menolak khabar angin itu, saya perlu tanya isteri saya dahulu kerana dia bos saya.

"Saya sudah agak tua untuk beraksi bersama Cameroon. Sekarang adalah era untuk generasi muda, zaman saya sudah berakhir."