Industri bola sepak tempatan berkemungkinan besar terpaksa menampung kerugian sekita RM100 juta seandainya Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Kerugian itu akan ditanggung oleh kesemua pemegang taruh yang terlibat, termasuk barisan pemain dan jurulatih.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan sebarang aktiviti bola sepak dan akan mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) baru selepas tamat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemerhati sukan negara, Dr. Faithal Hassan, berkata: "Sekiranya penajaan terhenti, bagaimana keadaan industri itu sendiri seperti staf yang terlibat di peringkat venue dan sebagainya.

"Ia bukan sahaja melibatkan staf FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tetapi kita perlu lihat juga nasib staf di setiap venue.

"Sebagai contoh, Liga Perdana Inggeris bercadang untuk menggantikan baki liga dengan karnival.

"Maksudnya, ada beberapa perlawanan akan di adakan di satu tempat dan beberapa perlawanan lagi di satu tempat yang lain.

"Itu mungkin akan dapat mengawal keadaan daripada segi penjarakan sosial selain perhimpunan penonton dan pemain juga dapat dikawal dengan lebih baik," katanya.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, pula berkata: "Banyak pasukan akan kerugian jika liga dibatalkan.

"Bagi pasukan yang memang sudah rugi, pembatalan liga merupakan satu jalan keluar yang mudah.

"Tetapi implikasinya, mereka tidak dapat lari daripada kontrak mereka dengan pemain atau pegawai.

"Kita boleh cakap ia satu situasi yang luar biasa tetapi kontrak tetap kontrak," katanya.