Indonesia meneruskan momentum kemenangan dengan berpesta gol 5-0 ke atas Timor-Leste dalam Kumpulan F, kelayakan Kejohanan AFC di Paju, Korea Selatan, hari ini.

Skuad Garuda, yang menewaskan Brunei 5-0 kelmarin, menampilkan corak permainan agresif dan hampir menjaringkan gol pada minit ketiga melalui sepakan percuma Muhammad Iqbal tetapi ditepis penjaga gawang Timor Leste.

Beberapa peluang terhidang tetapi kesemuanya gagal memecah kebuntuan dalam babak pertama yang berkesudahan tanpa jaringan.

Selepas enam minit separuh masa kedua, Indonesia mula membuka koleksi gol dengan jaringan pertama diraih Saddil Ramdani.

Pada minit ke-60, Hanis Saghara Putra pula menggandakan jaringan untuk Indonesia mendahului 2-0.

Selepas itu, kapten pasukan, Egy Maulana Vikri, menambah tiga gol lagi.

Ia bermula pada minit ke-84, disusuli dengan sepakan percuma pada minit ke-87, sebelum Egy melengkapkan hatriknya melalui penyudah sempurna pada masa kecederaan untuk membawa Indonesia mendahului Kumpulan F dengan enam mata.

Sementara itu, tuan rumah, Korea Selatan, membuka kempen kelayakan dengan membelasah Brunei 11-0.

Korea Selatan menemui gol menerusi Cho Young-Wook, Kim Chan, Lee Sang-jun, Lee Jae-hyuk, Lee Kang, Jeong Ho-jin, Lim Jae-hyuk dan Kim Hyun-woo.

Malaysia, yang menewaskan Timor-Leste 3-1 kelmarin, akan beraksi dalam perlawanan kedua dengan menentang Brunei pada jam 11 pagi, Sabtu ini.

Gambar: Laman web rasmi AFC