TRINIDAD AND TOBAGO 2 AMERIKA SYARIKAT 1

Amerika Syarikat (AS) terkandas untuk mara ke Piala Dunia 2018 berikutan tewas mengejut 2-1 kepada Trinidad and Tobago, sekaligus memberi laluan kepada Panama dan Honduras untuk memenangi tiket kelayakan zon CONCACAF, sebentar tadi.


Mexico yang berada di kedudukan teratas dan Costa Rica sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan akhir dalam perebutan tiga slot automatik.

Memburu kemaraan kelapan berturut-turut, AS dilihat pilihan untuk ke Russia apabila menghuni tangga ketiga sebelum sepak mula aksi terakhir kelayakan zon Amerika Utara itu. Apatah lagi mereka baru membelasah Panama 4-0, tempoh hari.

Namun, keputusan tidak diduga dalam pertemuan dengan Trinidad and Tobago itu bermakna skuad kendalian Bruce Arena itu ditolak ke tangga kelima.

Pemain sensasi Borussia Dortmund, Christian Pulisic, merapatkan jurang pada separuh masa kedua untuk menghidupkan peluang AS selepas gol sendiri Omar Gonzalez dan jaringan padu jarak jauh Alvin Jones memberikan tuan rumah kelebihan 2-0 pada babak pertama.

Bagaimanapun, AS buntu mendapatkan jaringan penyamaan untuk mengelak kekecewaan edisi 1986 berulang.

AS pastinya kesal kerana lawan mereka itu tidak pernah menang dalam sembilan aksi terakhir mereka, enam daripadanya berakhir dengan kekalahan.

Sementara itu, Panama menewaskan Costa Rica 2-1 untuk merebut tempat ketiga dan Honduras bakal menghitung nasib dalam pusingan play-off bertemu Australia susulan kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas Mexico.