Bintang Lazio, Ciro Immobile bekata ia seperti mimpi menjadi kenyataan apabila dia menyamai rekod jaringan dan memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah musim 2019-20.

Immobile menyamai rekod Gonzalo Higuain dalam menjadi pemain paling banyak menjaringkan gol dalam satu musim Serie A selepas menjaringkan golnya yang ke-36 ketika tewas kepada Napoli 1-3 awal pagi tadi.

Penyerang berusia 30 tahun itu menyamai rekod yang dilakukan Higuain dalam musim 2015-16, selain turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah kasut emas selaku penjaring terbanyak Eropah.

Dia mengatasi nama-nama besar lain seperti Robert Lewandowski (34), Ronaldo (31), Lionel Messi (25) dan Jamie Vardy (23).

"Saya teramat gembira dan berbangga dengan apa yang sudah saya capai, terutama apabila saya melihat kembali di mana saya bermula dan semua yang sudah saya lalui," katanya kepada Lazio Style Channel.

"Jika anda benar-benar percaya, adakalanya, impian boleh menjadi kenyataan.

"Saya hanya mampu berterima kasih kepada jurulatih dan staf pasukan, rakan sepasukan, dan saya boleh katakan yang rekod ini adalah untuk seluruh pasukan.

"Saya juga berterima kasih kepada penyokong Lazio yang membuatkan saya berasa sangat diperlukan di kelab ini dan saya amat berbangga dengannya.

"Saya mahu menjadi contoh betapa jika anda tidak mengaku kalah, anda dapat mencapai apa yang anda sasarkan.

"Saya amat berbangga kerana dapat menempatkan diri dalam sejarah sukan ini.

"Saya masih mengingati betapa rakan sepasukan mengucapkan tahniah kepada saya di dalam bilik persalinan selepas saya menjaringkan hatrik ke atas Verona. Inilah makna sebenar sukan ini," katanya.

Lazio, yang layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, menamatkan Serie A di tangga keempat selepas mencabar Scudetto musim ini sebelum saingan itu direhatkan berikutan pandemik COVID-19.