Penyerang pinjaman Manchester United, Odion Ighalo, telah berjanji untuk keluar padang jika dia dianiaya secara perkauman sekiranya pengadil tidak mengambil tindakan.

Ighalo mendedahkan dia "dipanggil dengan segala macam nama" dalam perlawanan ketika bermain untuk Shanghai Shenhua, tetapi tidak mengambil tindakan lebih lanjut setelah memberitahu kepada Persatuan Bolasepak China.

Pemain berusia 30 tahun itu yang minggu ini yang melanjutkan kontraknya bersama United hingga akhir Januari 2021, tidak akan lagi tunduk terhadap isu ini.

"Sekiranya ia berlaku kepada saya, saya akan melaporkannya kepada pengadil dan melihat apa yang mereka lakukan, tetapi jika mereka tidak mengambil tindakan, maka saya akan meninggalkan perlawanan tersebut," katanya kepada Sky Sports News.

"Dalam satu perlawanan di China, saya dipanggil dengan begitu banyak nama dan selepas perlawanan, saya tidak berjabat tangan. Saya berjalan terus ke bilik persalinan, saya marah, saya melaporkannya kepada FA.

"Saya tidak melanjutkan tindakan tersebut, saya melepaskan kes tersebut kerana saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Saya tidak suka mengheret masalah. Tetapi saya berasakan ia tidak lagi boleh diterima mana-mana negara sekalipun."

Ighalo menekankan pentingnya mendidik generasi muda setelah kematian rakyat Amerika Syarikat berkulit hitam, George Floyd, ketika berada dalam tahanan polis di Minneapolis minggu lalu, yang menyebabkan protes di negara tersebut.

"Perkauman seharusnya dibenarkan sama sekali. Kita semua manusia. Walaupun warna kulit berbeza, kita semua sama, kita hidup di dunia yang sama, kehidupan yang sama.

"Saya tidak membenarkan perkauman, tetapi pada masa sama, saya tidak membenarkan rusuhan berlaku.

"Kita harus mulai mendidik generasi muda membiarkan mereka melihat bahawa semua manusia adalah sama. Kita harus memperjuangkan kemanusiaan bukan warna."