Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menegaskan keputusannya mengetepikan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim, bukan dipengaruhi oleh kecaman warga internet, sebaliknya disebabkan masalah keluarga yang dihadapi pemain itu.

Ifwat Akmal menerima kritikan hebat susulan aksi hambarnya dalam perlawanan separuh akhir dan final Piala Malaysia baru-baru ini.

Selepas dibolosi lapan gol, penjaga gol Kedah itu diselubungi kontroversi berikutan kenyataannya mengenai video bantuan gol pengadil (VAR).

Semalam, penjaga gol itu membuat keputusan untuk menarik diri daripada skuad kebangsaan sebelum Cheng Hoe menggantikannya dengan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Haziq Nadzli.

"Ifwat bermain dengan amat baik sepanjang bersama Kedah dan skuad kebangsaan," kata Cheng Hoe.

"Dia mempunyai masalah peribadi untuk diselesaikan, jadi kami perlu menghormati keputusannya."

Cheng Hoe turut mengesahkan pemilihan Haziq itu dibuat selepas dia mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee.

Ia disebabkan penjaga gol itu turut berada dalam senarai skuad B-22 negara menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

"Kami memang sentiasa berbincang dengan Datuk Ong tentang pemilihan pemain.

"Saya rasa Haziq merupakan pilihan terbaik kerana dia bermain dengan baik dan konsisten sepanjang musim ini walaupun hanya beraksi untuk JDT II," tambahnya.