Bekas ketua jurulatih Akademi Paris Saint-Germain (PSG), Saad Ichalalene, mengetuai pelantikan empat muka baru dalam Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) dengan kos bulanan yang lebih rendah berbanding gaji bekas pengarah program itu, Lim Teong Kim.

Jawatankuasa Pemandu NFDP merombak struktur itu bagi memantapkan program bola sepak termahal negara berkenaan.

Ichalalene dipilih sebagai pengarah teknikal berdasarkan pengalamannya di pelbagai peringkat NFDP sejak 2016.

Beliau akan turut dibantu Dannis Bekking, yang dilantik ketua Akademi Mokhtar Dahari (AMD), selain dua lagi jurulatih tempatan.

"Saad dipilih memandangkan beliau merupakan tulang belakang yang merancang program latihan NFDP di pelbagai peringkat sebelum ini dan telah biasa dengan struktur NFDP," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

"Beliau juga bekerja dengan baik bersama pengarah teknikal sebelum ini, LTK (Teong Kim).

"Beliau akan memastikan legasi baik NFDP akan diteruskan," katanya.

Jawatan pengarah AMD kosong sejak kontrak Teong Kim ditamatkan 31 Oktober lalu.

Beliau dikritik hebat selepas gagal membawa Malaysia ke Piala Dunia B-17 di Peru sehingga soal gajinya dipertikaikan.

"Kos memainkan peranan yang amat besar.

"Alhamdulillah, kami telah dapat penambahan dana yang menggalakkan.

"Jika sebelum ini bajet sebanyak RM15 juta, sekarang sudah melebihi RM40 juta.

"Dengan itu, kami dapat memastikan ekosistem NFDP di seluruh Malaysia bertambah baik," tambahnya.

Sementara itu, Ichalalene dalam respons segeranya berkata: "Perkara pertama, saya tidak berada di sini untuk melakukan revolusi terhadap apa-apa tetapi untuk meneruskan segala perkara positif yang saya sudah lakukan sejak beberapa tahun lalu dan meningkatkan apa yang boleh dipertingkatkan.

"Kami memerlukan masa untuk menentukan strategi terbaik bagi setiap yang terlibat dengan program ini.

"Sebagai program kebangsaan, misi utamanya bukan untuk memenangi kejohanan yang tidak akan diingati.

"Tetapi untuk mencipta satu platform yang kukuh bagi membantu menghasilkan pemain yang berkualiti yang boleh memanfaatkan Malaysia, kami perlu mencuba untuk memainkan peranan kami bagi memaksimumkan ekosistem bola sepak Malaysia," katanya.