GUADALAJARA 0 ATLETICO MADRID 0
(Atletico menang penentuan penalti 5-4)

Marcos Llorente dibuang padang dalam penampilan keduanya untuk Atletico Madrid ketika gergasi LaLiga itu menumpaskan Guadalajara menerusi penentuan penalti dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019, sebentar tadi.


Llorente, yang tiba daripada Real Madrid dengan yuran €30 juta (RM137.7j), ditunjukkan kad merah selepas menafikan peluang terbuka pada minit ke-24 tatkala Atletico selesa menguasai permainan dalam aksi di Globe Life Park di Arlington itu.

Bagaimanapun, Guadalajara turut kehilangan seorang pemain berikutan Carlos Villanueva dibuang padang selepas sejam perlawanan.

Namun, kedua-dua pasukan gagal mencari pemisah sebelum penjaga gol Atletico, Antonio Adan, muncul wira memuktamadkan kemenangan.

Skuad kendalian Diego Simeone itu tampak berbahaya sejak awal permainan dan beberapa kali hampir membuka tirai jaringan sepanjang 25 minit aksi pembukaan.

Diego Costa menyumbat gol, namun dibatalkan akibat ofsaid sementara penjaga gawang Guadalajara, Raul Gudino, tangkas menyelamatkan rembatan Thomas Lemar dari jarak 25 ela.

Gudino sekali lagi bertindak cemerlang apabila mematahkan peluang Alvaro Morata dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-21 sebelum Llorente menemui padah.

Di bawah tekanan yang diberikan Alexis Vega, Llorente menarik jatuh penggempur itu sehingga mengundang kad merah.

Atletico masih mampu bersaing sebelum melakukan 10 pertukaran selepas rehat.

Justeru, mereka dipaksa untuk lebih banyak berkubu di kawasan sendiri sebaik permainan bersambung.

Guadalajara turut beraksi dengan 10 pemain selepas itu apabila Villanueva menerima kad kuning kedua pada minit ke-61.

Koke hampir meletakkan Atletico di depan dengan sepakan percuma, namun Gudino memastikan kekebalannya dengan merebahkan badannya ke kanan untuk menepis usaha itu dan mengheret permainan ke penentuan penalti.

Atletico berdepan situasi getir sebelum Adan menyelamatkan tendangan Fernando Beltran untuk Alan Cervantes memuktamadkan kemenangan.