Mauro Icardi tidak mencetuskan sebarang isu buat Antonio Conte setelah pengendali Inter Milan itu mengesahkan penyerang yang gagal melengkapkan perpindahan keluar daripada kelab itu tidak menghalang persiapan menjelang musim baru.

Inter memberikan Icardi jersi nombor 7 menjelang saingan 2019-20 dalam usaha memastikannya kekal bersama kelab, di mana dia dilucutkan jawatan kapten musim lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan keluar tatkala Juventus dan Monaco disebut-sebut sebagai destinasi.

Bagaimanapun, memandangkan Icardi masih di Inter di samping kehadiran Romelu Lukaku daripada Manchester United, Conte tampak tidak memerlukan sebarang penambahan.

Ditanya mengenai kesan daripada Icardi yang masih kekal dalam pasukan, Conte berkata: "Saya sangat menghormati semua orang tetapi tidak rasa terganggu.

"Kami bekerja keras, sangat tahu mengenai pendekatan yang dilakukan dengan pemain tetapi ia tidak memberikan sebarang gangguan buat saya."

Inter akan memulakan musim 2019-20 menentang Lecce di San Siro awal pagi esok sambil Conte menegaskan sasarannya untuk merapatkan jurang dengan dua pasukan terbaik musim lalu, Juventus dan Napoli.

Skuad Nerrazurri itu menamatkan saingan musim lalu di tangga keempat, 10 mata di belakang Napoli yang muncul naib juara tetapi Conte percaya kehadiran Lukaku dapat meningkatkan peluang pasukannya.

"Lukaku datang dengan keinginan yang tinggi," katanya.

"Dia seorang pemain yang mesra dengan sekelilingnya dan pasukan mengalu-alukan kedatangannya.

"Dia pernah menjadi pemain utama United, walaupun tidak 100 peratus, tetapi memiliki potensi dan mampu meningkat di segenap kawasan.

"Saya cuba gandingkannya dengan Lautaro Martinez, Matteo Politano dan Sebastiano Esposito, jadi saya teruja dengan prestasi yang ditunjukkan.

"Saya sering katakan tentang keinginan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu peratus peluang untuk menang. Kami sedang membina sesuatu yang penting di sini dan saya katakan ia sedang berjalan.

"Kami mahu merapatkan jurang yang besar daripada dua pasukan teratas. Saya tidak meletakkan sebarang had, hanya masa membuktikan perjuangan kami tetapi kami perlu bekerja lebih keras berbanding yang lain jika mahu mencapai sesuatu yang hebat."