Mauro Icardi bertekad meraih pelbagai kejuaraan bersama Inter Milan apabila mengakhiri spekulasi perpindahan dengan menandatangani kontrak lanjutan selama lima tahun bersama kelab itu.

Pemain antarabangsa Argentina itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab gergasi Eropah pada hujung musim lalu, dengan Arsenal turut menyatakan minatnya.

Bagaimanapun, Icardi memilih untuk kekal di Itali dan musim ini dia telah meledak enam gol dalam tujuh penampilan dalam Serie A.

Selepas menandatangani kontrak baharu, dia bertekad membawa Inter meraih kejuaraan berganda.

"Saya sangat gembira kerana inilah yang saya mahukan," katanya kepada Inter TV.

"Saya mahu kekal di Itali, jadi kami berjaya mencapai persetujuan. Saya tidak pernah bimbang kerana saya tahu inilah tempat saya.

"Saya tahu ia bukan perkara mudah tetapi saya mahu meraih kejuaraan bersama Inter. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan isteri saya."