INTER MILAN 1 UDINESE 0

Ketua jurulatih Inter Milan, Luciano Spalleti, melabel Mauro Icardi sebagai penyerang sempurna selepas pemain kebangsaan Argentina itu meledakkan gol kemenangan buat pasukannya menewaskan Udinese dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.


Icardi menghasilkan jaringan penalti ala "Panenka" pada minit ke-76 di San Siro yang memastikan kemenangan 1-0 Inter walaupun mereka memaparkan prestasi hambar sepanjang perlawanan.

Penyerang berusia 25 tahun itu terlebih dahulu terlepas peluang keemasan selepas tandukannya dalam kotak penalti melewati palang gol.

Nerazzurri selepas itu bergelut untuk menembusi kubu kental pertahanan Udinese.

Spalleti, bagaimanapun, menganggap Icardi sebagai penyerang paling sempurna buat pasukannya.

"Dia melengkapkan pasukan ini sebagai seorang penyerang sempurna.

"Adakalanya ketika pihak lawan melakukan serangan, penyerang perlu turun ke bawah untuk mencari peluang.

"Icardi telah melakukannya dengan baik sejak akhir-akhir ini," katanya kepada Sky Sport Italia.

Inter beraksi di bawah tahap sebenar, awal pagi tadi.

Mereka menguasai perlawanan, namun jarang melakukan percubaan berbahaya.

Walaupun Spalleti gembira dengan tahap kesabaran barisan pemainnya, dia sedar akan keperluan buat pasukan itu beraksi dengan tempo perlawanan yang lebih tinggi.

"Kami bermain baik, namun bukan pada keamatan yang tepat.

"Bola perlu segera ke kubu lawan dan bukan secara perlahan yang akan memberikan ruang buat pertahanan lawan memperkukuhkan formasi.

"Kami bermain dengan tidak seimbang, namun masih mendominasi perlawanan," tambahnya.