Mauro Icardi percaya dia dapat memanfaatkan peluang bergandingan dengan Edinson Cavani di Paris Saint-Germain (PSG) dan menyarankan pengurus, Thomas Tuchel, menurunkan mereka selaku dua penyerang dalam kesebelasan utama.

Sejak meninggalkan Inter Milan untuk ke ibu kota Perancis itu menerusi pinjaman jangka panjang, Icardi telah menjaringkan tujuh gol dalam kesemua kejohanan buat PSG.

Ketibaannya pada awal September lalu merupakan waktu paling tepat buat PSG selepas Cavani mengalami kecederaan pinggul pada awal musim ini dan terpaksa direhatkan selama enam minggu.

Pemain kebangsaan Uruguay itu sudah mula beraksi sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan Ligue 1 yang terakhir -- termasuk ketika tewas mengejut 1-2 kepada Dijon awal pagi Sabtu lalu -- tetapi Tuchel tidak pernah menyenaraikan Cavani dan Icardi serentak dalam barisan utamanya.

Bagaimanapun, Icardi berasakan dia dan Cavani -- yang sudah mengenali sesama sendiri sejak beraksi dalam Serie A -- boleh bergandingan dengan baik.

"Saya sudah lama mengenali Edi, kami pernah berada di Itali satu ketika dulu," katanya kepada RMC.

"Edi seorang pemain yang hebat dan telah mencipta sejarah bersama PSG.

"Dia telah melakukan banyak perkara di sini.

"Saya mahu menyumbang sesuatu di sini tetapi jurulatih perlu memilih (siapa yang akan diturunkan).

"Kedua-dua kami beraksi untuk yang terbaik buat pasukan, itulah yang kami katakan kepada diri kami di dalam atau di luar padang.

"Edi dan saya adalah penyerang, kami gemar menjaringkan gol, kami boleh bergandingan jika jurulatih memilihnya.

"Tetapi keputusan itu bukan terletak di tangan kami.

"Pada akhirnya, jurulatih yang akan menentukannya kerana itu tugasnya," katanya.