Luciano Spalletti menghamburkan pujian kepada kapten Inter, Mauro Icardi, sebagai "salah seorang pemain terbaik" yang pernah dilatihnya menjelang kunjungan Nerazzurri bertemu Benevento.

Inter masih belum tewas di bawah kendalian bekas pengendali Roma, Spalletti, dan menduduki tangga ketiga Serie A selepas meraih 16 mata daripada enam perlawanan.

Selepas berjaya meledak enam kali, Icardi dilihat tidak berada pada tahap terbaik, bagaimanapun Spalletti menegaskan ia terletak kepada penyerang itu untuk menyesuaikan diri dengan peranan barunya dalam sistem yang telah diterapkan.

"Icardi? Saya tidak melihat seorang pemain yang gagal memberikan yang terbaik atau menghadapi masa yang sukar," kata Spalletti.

"Dia merupakan antara pemain yang terbaik yang pernah saya latih. Melihat menerusi persembahan yang konsisten, terdapat naik dan turun tetapi ia merupakan sebahagian daripada proses perkembangan.

"Saya meminta Icardi untuk menyesuaikan diri dengan formasi, dia memberikan fokus dan saya mengetahui dia akan mengambil setiap kesempatan yang dimiliki. Kami perlu menjadi lebih baik pada setiap masa dalam perlawanan.

"Walaupun gagal melakukan hantaran yang kemas, kami menyedari bahawa kami perlu mempertingkatkan mutu permainan," katanya.

Permulaan cemerlang Inter musim ini dibayangi oleh aksi cemerlang pendahulu liga, Napoli dan Juventus, yang berkongsi 18 mata setakat ini.

Berpuas hati dengan persembahan Inter setakat ini, Spalleti percaya pasukannya perlu meneruskan aksi cemerlang untuk memperbaiki kedudukan mereka.

"Kami perlu terus mempertingkatkan mutu permainan untuk bersaing dalam liga ini. Kami yakin mampu menghasilkan sesuatu pada penghujung musim ini," katanya lagi.