Mauro Icardi menolak kritikan terhadap persembahan Romelu Lukaku sejak penyerang itu menyertai Inter sambil berharap tonggak Belgium itu dapat menemui rentak terbaiknya bersama skuad Nerazzuri itu.

Lukaku, yang hadir sebagai pengganti kepada Icardi untuk mengetuai jentera serangan Inter, menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab Serie A berkenaan daripada Manchester United pada Ogos lalu dengan kos perpindahan yang dilaporkan bernilai €80 juta (RM371.5j).

Dia hanya menyumbat tiga gol dalam lapan penampilan tetapi bagi bekas ketua pasukan itu, yang menyertai Paris Saint-Germain (PSG) bulan lalu menerusi perjanjian pinjaman yang menyaksikannya boleh berpindah secara tetap, tidak percaya Lukaku telah mengalami prestasi buruk dalam permulaan kempennya di Itali.

"Pada pandangan saya, dia tidak mengalami detik sukar," kata penyerang kelahiran Argentina itu kepada Gazzetta dello Sport.

"Malah, saya fikir telah dia bermula dengan baik dan sudah menyumbat beberapa gol.

"Bukan mudah buat sesiapapun untuk bermain di Itali. Serie A merupakan liga yang mengamalkan pertahanan paling kental di Eropah.

"Mungkin dia memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri tetapi dia sudah meledak banyak gol dalam kerjayanya dan dia akan melakukannya lagi."

Icardi pula sebaliknya tidak memberi tumpuan kepada masa depannya dengan memfokuskan kepada prestasinya bersama skuad bimbingan Thomas Tuchel itu semata-mata apabila sudah mencetak dua gol dalam empat perlawanan buat juara bertahan Ligue 1 itu.

"Tahun ini, saya bersama PSG dan matlamat saya adalah untuk memberikan yang terbaik dalam seragam ini," tambahnya.

"Kemudian pada akhir musim ini, sekitar Mei atau Jun kelak, kita akan lihat apakah yang berlaku. Masih terlalu awal untuk saya mengatakan sebarang kemungkinan."