INTER 4 FIORENTINA 2

Ketua pasukan Inter Milan, Mauro Icardi, melontarkan amaran terhadap persembahan babak kedua pasukannya selepas mereka hampir membenarkan Fiorentina bangkit memadamkan kelebihan mereka.

Stefano Pioli meraikan kemenangan pertama Inter di bawah kendaliannya apabila mengatasi skuad Viola 4-2 di San Siro untuk memanjat ke tangga kelapan Serie A.

Inter mendahului 3-0 ketika permainan baru berusia 20 minit dan Fiorentina bertambah malang apabila kehilangan seorang pemain pada babak kedua susulan layangan kad merah ke atas Gonzalo Rodriguez.

Namun, gol Nikola Kalinic buat pelawat pada separuh masa pertama disusuli jaringan Josip Ilicic selepas permainan berlangsung sejam, memberi harapan kepada Fiorentina untuk mengubah kedudukan.

Gol jaringan Icardi pada masa kecederaan menafikan hajat Fiorentina, namun penyerang dari Argentina itu gusar terhadap rentak Inter yang gagal menguasai permainan selepas waktu rehat.

Lebih-lebih lagi mereka masih segar dengan kekalahan mengejut 3-2 kepada Hapoel Be'er Sheva dalam saingan Liga Europa, di mana mereka dibolosi sebanyak tiga kali dalam tempoh 32 minit.

"Ia adalah perlawanan yang kami perlu bermain baik dan kami melakukannya biarpun rentak kami agak kendur pada separuh masa kedua seperti ketika kami bermain di Israel," katanya kepada Sport Italia.

"Jelas sekali ada sesuatu yang perlu diusahakan. Saya berasakan tahap kecergasan kami bukanlah isu.

"Saya tidak pasti jika kami berasa takut untuk menang atau sebaliknya tapi kami perlu menguasai situasi dengan lebih baik ketika kami memimpin perlawanan. Perkara ini kerap berulang."

Icardi menyumbat dua gol selepas mencipta peluang buat Marcelo Brozovic untuk membuka tirai gol perlawanan, sebelum Antonio Candreva turut mencetak gol dalam aksi yang disaksikan wakil dari pemilik kelab, Suning Group.

Icardi berharap persembahan mereka itu mampu menjadi pemangkin untuk mereka mencabar tiga kedudukan teratas Serie A selain membuktikan perbelanjaan besar ke atas pemain dalam tempoh 18 bulan adalah setimpal.

"Mereka hadir untuk menyuntik semangat kami dan saya berasakan mereka akan kembali ke China dengan perasaan gembira," kata Icardi.

"Saya tidak tahu apa yang tidak kena pada musim ini. Saya telah katakan sejak musim panas lalu lagi, secara individu... kami mempunyai beberapa pemain terbaik dalam Serie A, namun kami perlukan semua orang untuk bermain sebagai sebuah pasukan."