Penyerang Argentina, Mauro Icardi, berharap agar Lionel Messi kembali bersama pasukan kebangsaan menjelang saingan Copa America tahun depan.

Messi tidak beraksi buat Argentina sejak mereka tersingkir dalam pusingan 16 Piala Dunia lalu susulan kekalahan di tangan juara, Perancis, dan masa depannya di peringkat antarabangsa tampak samar.

Argentina kini hanya tewas satu daripada enam perlawanan di bawah kendalian jurulatih sementara, Lionel Scaloni, tatkala Icardi menyumbat gol pertama buat pasukan kebangsaannya sewaktu menundukkan Mexico 2-0, kelmarin.

Ditanya mengenai Messi selepas perlawanan, Icardi memberitahu TyC Sports: "Dia merupakan pemain terbaik dunia dan kami mengharapkan kepulangannya, terutama untuk menghadapi Copa America yang akan datang."

Penggempur Inter Milan itu juga memuji semangat pasukannya di bawah bimbingan Scaloni yang tidak menjangkakan keputusan positif bagi membolehkannya memegang status ketua jurulatih secara tetap.

"Saya ketandusan jaringan, menunggu dan kini gembira," tambah Icardi.

"Bukan mudah untuk beraksi tanpa menjaringkan gol. Ia menghadirkan banyak kritikan tetapi kini saya berharap dapat meneruskan prestasi ini.

"Kami adalah satu kumpulan yang hebat, mampu berkembang dengan baik dan gembira untuk beraksi di bawah kendalian Scaloni, Walter Samuel dan Pablo Aimar.

"Sudah tentu pihak persekutuan yang akan menentukan masa depan mereka tetapi apa yang boleh saya katakan sekarang, situasi di dalam pasukan tidak pernah berlaku.

"Kini, kami selesa dan sesuatu yang sangat penting sedang diusahakan. Saya bekerja di bawah pengurusan lama tetapi tidak pernah melihat persahabatan dan keakraban seperti yang wujud ketika ini."