PSV 1 INTER 2

Luciano Spalletti menyifatkan Mauro Icardi sebagai "penyerang sempurna" selepas kapten Inter Milan itu mencetak gol kemenangan 2-1 dalam Liga Juara-Juara (UCL) ke atas PSV.


Icardi, yang meledak gol dramatik ketika menentang Tottenham Hotspur dua minggu lalu, melengkapkan satu lagi persembahan bertenaga bersama Nerazzurri apabila muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-60 di Stadium Philips, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Argentina itu sebelum itu memainkan peranan dalam gol penyamaan Radja Nainggolan pada babak awal dan sering mencetuskan masalah kepada kelab Belanda itu sebelum menyempurnakan peluangnya dengan gaya yang tenang.

Lantaran itu, kemampuan Icardi untuk menyesuaikan diri dalam kempen UCL sulungnya tidak mengejutkan Spalletti.

"Icardi merupakan penyerang yang sempurna jika kita bercakap mengenai penyudah. Dia sudah lengkap dan merupakan pemangsa sebenar di dalam kotak penalti," kata pengurus Inter itu kepada pemberita.

"Kadang-kadang, dia perlu kembali untuk membantu bahagian tengah daripada berlari ke hadapan. Dia melakukannya beberapa kali pada malam ini dan dia sangat penting buat kami.

"Saya masih fikir kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dengan mengasak lebih jitu sebaik kami mempunyai ruang.

"Pada saat-saat tertentu, kami tidak memahami dengan tepat apa yang perlu dilakukan, kami kembali menghantar bola ke belakang tatkala kami berpeluang untuk menyerang dan membunuh permainan."

Inter ketinggalan sejurus Pablo Rosario membuka tirai jaringan dengan serangan cemerlang pada minit ke-27.

Jurulatih PSV, Mark van Bommel, kesal selepas pasukannya memberikan saingan serta berasakan mereka telah dirompak kerana mendakwa penjaga gol Inter, Samir Handanovic, telah memegang bola di luar kotak penalti sebelum gol penyamaan hadir.

Penjaga gol itu meluru ke depan yang mendorong pengadil, Milorad Mazic, melayangkannya kad kuning kerana menghalang kemaraan Steven Bergwijn di sayap kiri.

"Ia kad merah," kata Van Bommel. "Jika tidak, setiap penjaga gol boleh menggunakan tangannya di luar kawasan penalti.

"Saya mahu memuji pasukan. Kami berjaya, malangnya kami tidak bernasib baik untuk meraih mata dalam perlawanan ini."