Fabio Capello menegaskan Zlatan Ibrahimovic meluangkan banyak masa di gelanggang latihan untuk memperkemaskan sentuhan penyudah ketika menyertai Juventus.

Kapten Sweden itu menyertai Juve dari Ajax pada 2004 dan bersama pasukan selama dua musim sebelum berhijrah ke Inter.

Capello, yang merupakan ketua jurulatih Bianconeri ketika dua musim Ibrahimovic bersama kelab itu, berkata beliau mahu membawanya ke Roma tetapi gembira apabila Juve membuat keputusan untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, kualiti penyerang Manchester United ketika itu masih memiliki banyak ruang yang perlu diperbaiki ketika kali pertama beraksi dalam Serie A.

"Ketika Ibrahimovic tiba di Juventus, sentuhan penyudahnya tidak cukup tajam," kata Capello.

"Ejennnya, Mino Raiola, berkata kepada saya, 'Zlatan seorang pemain yang kuat, dia mampu mematahkan tangan penjaga gol'. Saya berkata kepadanya, 'Setakat ini, dia hanya memecahkan tingkap di gim!'

"Kemudian Ibrahimovic mula berlatih setiap hari dan peningkatannya dapat disaksikan oleh setiap pemain.

"Ibrahimovic merupakan pemain sasaran saya ketika mengendalikan Roma. Tetapi Juventus telah membelinya.

"Di Ajax, mereka melihatnya sebagai seorang pemain yang biasa. Mereka memilih untuk menyimpan Mido, pemain yang lebih mudah untuk diuruskan."

Capello meninggalkan Juve pada 2006 untuk ke Real Madrid dan memenangai kejuaraan LaLiga pada musim 2006-07.

Pengendali berusia 71 tahun itu, yang kini bersama Jiangsu Suning dalam saingan Liga Super China (CSL), berkata bekas bintang Brazil, Ronaldo, adalah pemain terbaik di bawah kendaliannya tetapi kecewa kerana hanya dapat bekerjasama dengan pemain itu pada penghujung kariernya.

"Ronaldo adalah pemain terbaik di bawah kendalian saya. Malangnya, saya bertemu dengannya pada penghujung kariernya. Dia seorang pemain yang berkualiti," tambahnya.