Ibrahimovic teruja kembali sarung jersi Milan 

Oleh Staff Writer 3 Januari 2020 153
Ibrahimovic teruja kembali sarung jersi Milan 
Zlatan Ibrahimovic gembira pulang ke 'laman sendiri' sejurus tiba untuk menjalani ujian perubatan sebelum memuktamadkan hasratnya kembali ke Milan.

Ibrahimovic akan menandatangani kontrak bersama skuad Rossoneri itu selama enam bulan dengan pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi selepas mendarat di Lapangan Terbang Linate di Milan awal pagi tadi. 

Khidmat penyerang berusia 38 tahun berkenaan disambar melalui perpindahan percuma selepas dia memutuskan untuk menamatkan cabarannya selama dua tahun dengan kelab Amerika Syarikat (AS), LA Galaxy.

Ibrahimovic, yang pernah mewakili Milan dari 2010 hingga 2012 dengan memenangi Scudetto dan Supercoppa Italiana, menyatakan keterujaannya untuk kembali menggalas tugas di kelab itu. 

"Saya masih teringat ketika tiba di tempat yang sama bertahun-tahun lalu. Apa yang penting ialah saya dapat kembali dan saya gembira," katanya kepada Milan TV.

"Saya selalu mengatakan bahawa ini adalah kampung halaman saya dan akhirnya saya kembali. Saya telah bermain untuk pasukan lain pada tahun-tahun lalu tetapi akhirnya saya kembali dan itu perkara yang paling mustahak."

Ditanya apakah dia mempunyai mesej untuk peminat apabila beratus-ratus daripada mereka berkumpul di lapangan terbang demi menyambut bintang berkenaan, Ibrahimovic menambah: "Saya kembali, akhirnya.

"Saya begitu teringin melihat peminat di San Siro, untuk menjadikan stadium ini kembali bergema."

Milan kini menduduki tangga ke-11 Serie A selepas dibelasah 0-5 di Atalanta, kekalahan terburuk mereka dalam liga sepanjang tempoh 21 tahun sebelum rehat pertengahan musim ini. 

Mereka akan menyambung aksi dengan menyambut kunjungan Sampdoria, Isnin ini.

 

Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen