Ibrahimovic tepati jangkaan dalam kemenangan Milan -- Pioli

Oleh Muzaffar Musa 19 Januari 2021 292
Ibrahimovic tepati jangkaan dalam kemenangan Milan -- Pioli
Stefano Pioli berkata Zlatan Ibrahimovic telah menepati jangkaan dengan jaringan bergandanya membantu AC Milan menewaskan Cagliari 2-0 dalam Serie A awal pagi tadi.

Dua gol yang dijaringkan Ibrahimovic itu turut melonjakkan Milan di kedudukan teratas dengan berkelebihan tiga mata berbanding seteru tradisi, Inter Milan.

Pemain berusia 39 tahun itu telah menemui sasaran dalam sembilan penampilan berturut-turut selaku kesebelasan utama -- buat kali pertama dalam kariernya sepanjang beraksi dalam lima liga utama Eropah untuk kini merekodkan 12 gol daripada lapan penampilan Serie A musim ini.

Ketua jurulatih Milan, Pioli, berkata Ibrahimovic telah beraksi di luar jangkaannya, di mana pasukannya memastikan kemenangan biarpun Alexis Saelemaekers dilayangkan kad merah pada minit ke-74.

"Ibrahimovic seorang juara dalam apa sahaja yang dilakukannya. Sudah pasti, dia kini sudah kembali, kami mempunyai lebih banyak pilihan dan kualiti," katanya dalam sidang media.

"Lebih banyak pilihan dan pemain yang kami ada, lebih besar peluang kami untuk memenangi perlawanan.

"Dia masih mengejutkan saya tetapi saya kini amat mengenalinya. Kami sentiasa menjangkakan dia akan memberikan semaksimum mungkin dan hari ini, dia menepati jangkaan itu," katanya.
 
Ibrahimovic merekodkan percubaan (lima) dan percubaan tepat (tiga) paling banyak ketika menentang Cagliari dan tiada pemain lain terlibat dengan lebih banyak pertarungan di udara (17) berbanding pemain itu.

Milan melebarkan rekod tanpa kalah dalam Serie A musim ini kepada 16 perlawanan yang menyamai rekod terbanyak sepanjang zaman mereka dalam era tiga mata bagi setiap kemenangan (sejak musim 1994-95).

"Kami gembira dengan prestasi hari ini. Bukan mudah untuk beraksi di atas padang yang sukar seperti ini, berdepan lawan dengan kualiti yang hebat.

"Kami layak menang dan kini kami akan fokus untuk perlawanan penting menentang Atalanta hujung minggu ini," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen