Pengarah AC Milan, Paolo Maldini, percaya "rasa gementar" mungkin menjadi penghalang buat Zlatan Ibrahimovic untuk kembali ke Serie A.

Kontrak bintang LA Galaxy itu dijangka berakhir dan bekas penyerang Milan, Inter dan Juventus itu telah dikaitkan bakal kembali ke Itali.

Ibrahimovic, yang pasukannya telah tersingkir daripada saingan play off Liga Bolasepak Utama (MLS) kepada Los Angeles FC, mendakwa dia mampu menjaringkan 20l gol semusim dalam saingan Serie A selepas dikaitkan dengan kelab seperti Napoli, Bologna dan Inter.

Kebarangkalian untuk Ibrahimovic kembali Milan turut dibincangkan ketika Rossoneri bergelut untuk mendapatkan gol.

Bagaimanapun, Maldini menolak kemungkinan pemain berusia 38 tahun itu akan kembali ke Itali.

"Kepulangan Ibra ke Itali merupakan satu impian tetapi saya berasakan mindanya menghadirkan perasaan gementar ekoran dia kini makin dimamah usia," kata Maldini kepada Sky Sport Italia.

"Saya masih ingat lagi ketika (bekas jurulatih Milan) Carlo Ancelotti meletakkan saya di bangku simpanan untuk satu perlawanan derby dan ketika itu saya sedar, saya tidak dapat menerima satu musim seperti itu. Saya tidak pasti sama ada Ibra mampu menerimanya.

"Krzysztof Piatek adalah seorang penyerang yang bagus. Dia perlu lebih memikirkan mengenai cara bermain secara sepasukan."

Ibrahimovic menyerlah sejak berhijrah ke Los Angeles daripada Manchester United tahun lalu -- menjaringkan 53 gol sepanjang dua musim di Galaxy.