Zlatan Ibrahimovic menolak untuk berbicara tentang masa depannya bersama AC Milan selepas kelab itu ditunjukkan jalan keluar daripada Liga Europa (UEL) oleh Manchester United awal pagi tadi.

Ibrahimovic dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-65 tetapi tidak dapat memacu kebangkitan Milan -- Skuad Rossoneri itu tewas 0-1 kepada United, yang layak ke suku akhir menerusi agregat 2-1.

Pemain berusia 39 tahun itu menjadi pemain utama Milan musim ini dengan menyumbangkan 16 gol, termasuk 14 dalam Serie A, untuk membantu pasukan gergasi Itali itu menduduki tangga kedua dan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Inter Milan.

Ibrahimovic akan berusia 40 tahun pada Oktober depan dan kontraknya bersama Milan akan tamat pada penghujung musim ini tetapi dia masih belum memberikan sebarang petanda mengenai perancangannya selepas musim 2020-21.

"Jika kami layak ke Liga Juara-Juara (UCL), ia sesuatu yang hebat juga tetapi objektifnya adalah untuk memenangi trofi," katanya kepada Sky Sport selepas perlawanan itu.

"Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai musim depan, apa yang saya tahu adalah saya masih di sini buat masa ini."

Penyerang itu, yang akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan Sweden selepas mengumumkan perasaannya pada 2016, berasakan Milan tidak sepatutnya disingkirkan oleh bekas kelabnya, United.

"Terdapat satu kekecewaan besar kerana kami melakukannya dengan baik sepanjang dua perlawanan ini, kami hanya melakukan satu kesilapan dan dibolosi.

"Kami sepatutnya memanfaatkan lebih banyak peluang yang kami ada. Kami tidak sepatutnya disingkirkan hari ini tetapi inilah bola sepak. Anda belajar daripada momen negatif dan menggunakannya untuk berkembang. Kami akan memandang ke depan dan musim ini masih belum tamat.

"Kami perlu kembali dengan lebih kuat dalam Serie A, belajar daripada kesilapan dan terus meningkat. Saya mahu beraksi untuk memenangi sesuatu, kami berada di tangga kedua dan mesti meneruskannya untuk mencuba dan memenangi Scudetto," katanya lagi.