UDINESE 1 MILAN 2

Rakan sepasukan Zlatan Ibrahimovic membuatkannya berasa muda, kata pemain berusia 39 tahun itu selepas mencetak gol ketujuh Serie A musim ini untuk menghadiahkan AC Milan kemenangan 2-1 di Udinese sekali gus mendahului carta jaringan saingan Itali, awal pagi tadi.


Bekas bintang Sweden itu menjadi inspirasi Rossoneri sejak kembali ke pangkuan kelab terbabitJanuari lalu telah mengejutkan hampir semua orang kecuali dirinya.

"Dengan penuh keyakinan, saya sememangnya menjangkakannya," katanya selepas membantu Milan berada di puncak Serie A.

"Ia tidak sempurna, saya gagal dalam beberapa penalti dan melepaskan terlalu banyak peluang. Tetapi semuanya baik-baik saja."

"Kami adalah sebuah pasukan muda, saya meningkatkan sedikit persembahan mereka tetapi mereka membuat saya rasa muda.

"Kami bekerja keras, kami percaya kepada sesuatu dan kami berlatih dengan baik. Mereka sangat dahagakan kejayaan, begitu bersemangat, tidak pernah puas dalam perlawanan atau latihan sesi."

"Kami percaya dengan apa yang sedang kami lakukan," tambahnya yang meledak gol kemenangan pada minit ke-83.

"Jurulatih melakukan pekerjaan dengan baik dan pasukan mematuhinya, jadi segalanya menjadi lebih mudah."



Pengurus Milan, Stefano Pioli, bersetuju bahawa Ibrahimovic menjadi asas kepada kebangkitan Milan walaupun menekankan bahawa mereka lebih daripada sekadar sebuah pasukan.

"Kami tidak seharusnya mengaitkan kemenangan ini terhasil daripada gol Ibrahimovic samata-mata," katanya.

"Saya percaya bahawa pasukan saya meraih kemenangan ini berdasarkan prestasi mereka secara keseluruhannya."

Pioli juga meredakan peluang mereka menjulang Scudetto.

"Kami masih di peringkat awal," katanya lagi.

"Kami tidak boleh memikirkan soal gelaran lagi sebaliknya perlu fokus tentang perjalanannya."