Zlatan Ibrahimovic menandakan hari pertamanya di Milan dengan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Rhodense yang berkesudahan 9-0.

Penyerang berusia 38 tahun itu terlebih dahulu diperkenalkan kepada peminat dan media semalam selepas menyertai semula kelab berkenaan menerusi perpindahan percuma sebaik meninggalkan LA Galaxy.

Bekas ketua pasukan Sweden itu menyertai sesi latihan pertama bersama rakan sepasukannya di Milanello sebelum turun menentang Rhodense, sebuah pasukan dalam divisyen kelima Itali awal pagi tadi.

Ibrahimovic kemudian menyumbat gol ketiga buat pasukannya apabila menyempurnakan peluang dari jarak dekat untuk melebarkan kedudukan kepada 3-0 selepas dua jaringan awal disumbangkan Davide Calabria.

Hakan Calhanoglu, Lucas Paqueta, Rafael Leao, Samu Castillejo dan Krzysztof Piatek turut mencetak nama sebagai penjaring.

Ibrahimovic, juara Serie A dengan Milan pada 2010-11 dalam tempoh pertamanya bersama kelab itu, boleh membuat penampilan sulungnya sejak kepulangannya bersama Rossoneri dalam pertemuan dengan Sampdoria, Isnin ini.



Editor: Shaiful Shamsudin