Zlatan Ibrahimovic masih menilai hala tuju masa depannya dan belum melakukan sebarang perbicangan dengan AC Milan, kata pengarah sukan kelab Sreie A itu, Frederic Massara.

Pemain berusia 38 tahun itu dikaitkan untuk kembali menyarung jersi The Rossoneri, pasukan yang diwakilinya selama dua musim dari 2010 sehingga 2012, selepas meninggalkan pasukan Liga Bolasepak Utama (MLS), LA Galaxy.

Bulan lalu, Pesuruhjaya MLS, Don Garber, mendedahkan Ibrahimovic dalam proses pulang ke Milan tetapi Massara menegaskan tiada perbincangan di antara kedua-dua belah pihak.

"Tiada khabar mengenai Ibrahimovic.

"Dia masih menilai masa depannya dan walaupun berada dalam pasaran, masih belum ada perkembangan."

Ibrahimovic menyarung jersi LA Galaxy selama 18 bulan dan dinamakan dalam Kesebelasan Terbaik MLS bagi tahun 2018 dan 2019 hasil daripada 53 gol yang dijaringkannya.

Fiorentina, Napoli dan Bologna merupakan antara pasukan yang dilaporkan berminat dengan bekas penggempur Sweden itu.