Ibrahimovic mampu jadi penggerak Napoli -- De Laurentiis

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2019 191
Ibrahimovic mampu jadi penggerak Napoli -- De Laurentiis
Aurelio De Laurentiis yakin Zlatan Ibrahimovic akan menjadi "penggerak" Napoli jika penyerang berkenaan menyertai skuad kendalian Carlo Ancelotti itu.

Kontrak Ibrahimovic bersama LA Galaxy akan berakhir Disember ini dan pemain berusia 38 tahun itu -- yang membintangi Serie A bersama Juventus, AC Milan dan Inter -- bercadang untuk kembali ke Itali.

Presiden Napoli, De Laurentiis, mengesahkan dia telah bertemu Ibrahimovic di Los Angeles dan menyatakan bekas penyerang Sweden itu -- yang menjaringkan 30 gol dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) bagi musim 2019 -- sentiasa diterima dengan terbuka di Stadio San Paolo.

De Laurentiis melanjutkan ulasannya semalam dan memberitahu ESPN, "Ibrahimovic seorang pemain yang berpengaruh.

"Dia mampu menjadi penggerak pasukan. Saya yakin mana-mana jurulatih berminat untuk mendapatkan khidmatnya."

Napoli telah berbelanja besar dalam jendela perpindahan lalu apabila mendapatkan Hirving Lozano daripada PSV.

Pemain kebangsaan Mexico itu setakat ini menjaringkan satu gol dalam Serie A ketika berdepan Juventus tetapi De Laurentiis tidak bimbang dengan permulaan perlahan pemain itu.

"Lozano dalam keadaan yang baik, anda perlu lebih bersabar dengan pemain-pemain baru yang belum pernah beraksi di Itali.

"Dia perlu menyesuaikan diri dengan bandar yang berbeza, jurulatih dan rakan sepasukan yang baru. Lozano seorang pemain yang berkualiti, sejurus dia turun berdepan Juve, dia meledak gol penyamaan.

"Anda tidak mampu menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat dan tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka. Masa perlu diberikan dan jurulatih perlu mencari posisi terbaik untuk pemain itu.

"Sejak 18 bulan lalu, kami telah membeli 13 pemain, jadi ia adalah satu perkara yang normal untuk memberikan masa kepada mereka untuk menampilkan aksi terbaik."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen