Zlatan Ibrahimovic mendakwa dia mampu beraksi sehingga berusia 50 tahun sekiranya menemui kelab yang tepat.

Pemain berusia 38 tahun itu sedang menunggu keputusan perpindahan seterusnya tatkala kontraknya bersama LA Galaxy tamat selepas dua tahun di pentas Liga Bolasepak Utama (MLS).

Sebelum ini, dia pernah beraksi di Sweden, Belanda, Itali, Sepanyol, Perancis dan England sambil Inter Milan, Juventus, Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United merupakan antara pasukan yang mendapat khidmatnya.

Walaupun semakin dimamah usia, penggempur yang terkenal dengan kelantangan bersuara itu menegaskan dia tidak bercadang untuk bersara dalam masa terdekat.

"Jika ada projek yang menarik perhatian, saya boleh beraksi pada tahap ini sehingga berumur 50 tahun," katanya kepada La Gazetta dello Sport.

Seperti kebiasaannya Ibrahimovic mengagungkan diri sendiri, dia turut membandingkan dirinya dengan jeneral era 1800 yang belayar ke Amerika Selatan serta menyesuaikan diri dengan budaya baru dengan jolokan Wira Dunia Kedua, Giuseppe Garibaldi.

"Saya baru menamatkan pengalaman di Los Angeles. Ia hebat," tambahnya.

"Kini, terdapat dua wira dunia kedua, iaitu saya dan Garibaldi."