Ibrahimovic kembali sertai Milan

Oleh Staff Writer 28 Disember 2019 135
Ibrahimovic kembali sertai Milan
Zlatan Ibrahimovic telah menyertai AC Milan buat kali kedua.

Pemain berusia 38 tahun itu merupakan ejen bebas sejak meninggalkan LA Galaxy ketika penghujung musim Liga Bolasepak Major (MLS), bulan lalu.

Dia telah menghabiskan tempoh 18 bulan bersama Galaxy dan dinamakan dalam Kesebelasan Terbaik MLS bagi tahun 2018 dan 2019 selepas mencatat 53 gol.

Beberapa kelab dikaitkan dengan bekas pemain Sweden itu termasuk Fiorentina, Napoli dan Bologna tetapi dia membuat keputusan untuk kembali ke San Siro.

Bekas penyerang Sweden itu telah menandatangani kontrak sehingga penghujung musim ini berserta pilihan lanjutan musim 2020-21.

"Saya kembali ke kelab yang sangat saya hormati dan bandar yang dicintai, Milan," katanya kepada laman web rasmi The Rossoneri.

"Saya akan berjuang dengan rakan sepasukan untuk mengubah nasib musim ini. Saya akan lakukan apa sahaja untuk mencapainya."

Ibrahimovic memenangi Serie A ketika beraksi bersama Milan selama dua musim sebelum ini sebelum ia berakhir pada Julai 2012 apabila dia membuat keputusan untuk menyertai gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).

Dia turut menikmati tempoh di Manchester United serta LA Galaxy dan kini kembali menyertai Milan yang melalui musim yang suram.

Milan kini menduduki tangga ke-11 liga, 14 mata ketinggalan daripada kelompok empat teratas dan dibelasah Atalanta 5-0 dalam aksi terakhir tatkala pengendali, Stefano Pioli, gagal memberi kesan besar sejak menggantikan Marco Giampaolo, Oktober lalu.


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen