Zlatan Ibrahimovic berkemungkinan mengalami kecederaan serius dalam sesi latihan AC Milan semalam.

Bekas penyerang kebangsaan Sweden itu berasa sakit di bahagian bawah betisnya ketika perlawanan dalam sesi latihan, demikian seperti yang dimaklumkan kepada Stat Perform News.

Laporan media Itali beranggapan hasil imbasan mungkin mendedahkan bahawa ia merupakan kecederaan Achilles serius.

Ibrahimovic, 38, menyertai semula Milan secara ejen bebeas pada Disember lalu selepas bersetuju untuk mengikat kontrak sehingga hujung tahun ini.

Dia menjaringkan tiga gol daripada lapan penampilan Serie A sebelum pandemik koronavirus mengakibatkan liga itu terpaksa ditangguhkan Mac lalu.

Ikatan keduanya dengan Milan itu dilihat akan menjadi tempoh terakhirnya bersama pasukan itu selepas melalui karier gemilangnya sebelum ini.

Ketua jurulatih Bologna, Sinisa Mihaljovic, baru-baru ini berkata, selepas berbincang dengan Ibrahimovic, dia menjangkakan penyerang veteran itu akan meninggalkan Milan pada penghujung musim ini.

Selepas memulakan kariernya di Malmo, Ibrahimovic turut menyertai Ajax, Juventus, Inter Milan dan Barcelona.

Waktunya bersama Milan bermula pada Ogos 2010 dan bertahan selama dua tahun sebelum dilamar Paris Saint-Germain (PSG).

Tempoh empat tahun penuh gemilang bersama PSG kemudian disusuli dengan dua musim di Manchester United.

Selepas 20 bulan bersama LA Galaxy, Ibrahimovic kini kembali ke San Siro.