Kemampuan dimiliki Zlatan Ibrahimovic telah memberikan impak positif kepada rakan sepasukannya, kata bekas penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Jeremy Menez.

Bekas pemain Perancis, Menez, beraksi selama tiga tahun di Parc des Princes, dua tahun daripadanya bersama Ibrahimovic, sebelum menyertai AC Milan pada 2014.

Pemain berusia 33 tahun itu mencipta kombinasi baik bersama Ibrahimovic sewaktu mula tiba di PSG tetapi perubahan sistem menyaksikannya kehilangan tempat.

Kini, Menez yang beraksi dalam Serie B selepas menyertai Reggina pada minggu lalu, bersyukur dengan nasihat yang diterima daripada penyerang itu sewaktu di Paris.

"Saya sentiasa bergaul dengannya. Kata-katanya memberikan motivasi kepada anda untuk melakukan segalanya, berlatih di tahap terbaik," katanya.

"Saya tidak pernah berdepan masalah dengannya. Dia seorang pemain yang sentiasa menggalakkan anda untuk meningkatkan diri. Dia mahu menang. Setiap hari, dia berlatih dengan baik dan memenanginya.

"Saya berterima kasih kepadanya kerana pemain seperti itu membuatkan anda menjadi individu dan pemain profesional yang bagus."

Ibrahimovic meledakkan 15 hol dalam 180 penampilan buat PSG dan menggelarkan dirinya seperti Tuhan dalam bilik persalinan.

Menez berkata penyerang Milan itu lebih mempersona dengan kemampuan menjaringkan gol di mana sahaja dia beraksi.

"Ia satu jenaka kerana dia sukakannya. Saya tersenyum kerana ia adalah Ibrahimovic. Ia menunjukkan kariernya," tambah Menez.

"Dia memang begitu. Selain apa yang diungkapkan, dia akan membuktikannya di atas padang. Bagaimana anda boleh melawan? Dia sentiasa membuatkan kelabnya menang.

"Apa yang boleh anda katakan untuk menentangnya? Saya tinggalkannya dan biarkan apa sahaja yang dia ingin katakan."