Zlatan Ibrahimovic "tidak memiliki ego" dan telah banyak menyumbang di Milan, menurut rakan sepasukan, Hakan Calhanoglu.

Pemain berusia 38 tahun itu kembali ke pangkuan Milan Januari lalu dan telah meledak empat gol dalam 10 perlawanan sebelum musim ini ditunda akibat wabak COVID-19.

Penyerang itu menghadapi kecederaan betis menjelang kempen Serie A yang akan bersambung selain menghadapi masa depan yang tidak menentu.

Begitupun, Calhanoglu menghamburkan pujian terhadap Ibrahimovic, yang memenangi Serie A dan Supercoppa Italiana ketika bersama kelab dalam tempoh pertama.

"Dia bukan pemain baru buat Milan. Dia adalah bintang dunia dan pemain yang sangat berpengalaman," katanya kepada beIN SPORTS.



"Dia adalah bintang kami. Dia telah memberikan sumbangan kepada kami dalam segala hal -- menerusi aspek pengalaman, cita-cita, mental dan sangat membantu di atas padang.

"Semua orang di luar melihatnya sebagai seorang yang ego. Saya rasa tidak, dia sangat mudah didekati, bersimpati, gemar bergurau dan adalah sangat senang menghabiskan masa dengannya."

Ditangguhkan sejak Mac lalu, Serie A akan bersambung 20 Jun depan.