Leo Duarte berharap rakan sepasukannya di AC Milan, Zlatan Ibrahimovic, akan cepat sembuh daripada kecederaan selepas mengalami masalah sejak kembali ke kelab itu.

Ibrahimovic meledakkan empat gol dalam semua kejohanan selepas kembali bersama The Rossoneri, pasukan yang diwakili sebelum berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2012.

Namun, kini berusia 38 tahun, penyerang dari Sweden itu tampak memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya ketika latihan, menurut pertahanan, Duarte.

Bagaimanapun, Milan bakal kehilangan khidmat penggempur itu apabila Serie A bersambung bulan depan selepas dia mengalami masalah kecederaan betis ketika latihan.

"Ibrahimovic adalah juara hebat, sangat kompetitif," kata Duarte.

"Dia banyak membantu kami dalam latihan untuk kekal fokus dan terus meningkat. Ia sangat memberikan perbezaan kepada pasukan kami.

"Kami harap dia dapat cepat sembuh kerana dia sangat penting buat kami."


Pemain dari Brazil, Duarte, hadir ke Milan daripada Flamengo tetapi hanya melakukan lima penampilan liga kerana menjalani pembedahan buku lali.

Namun, penangguhan liga akibat coronavirus membolehkannya untuk pulih dan dia kini kembali berlatih bersama pasukan.

"Kini, saya dalam keadaan baik, tidak berasa sakit dan harap kami lebih kuat berbanding sebelum ini. Saya sudah bersedia, saya berlatih dengan pasukan dan rasa bagus," tambahnya.

"Saya harap dapat beraksi sebanyak mungkin kerana secara fizikal, saya dalam keadaan baik.

"Saya mahu menamatkan saingan liga dalam kedudukan terbaik. Dapatkan mata yang banyak untuk ke Liga Europa atau lebih bagus, Liga Juara-Juara Eropah."

Milan kini berada di tangga ketujuh liga, 12 mata ketinggalan berbanding pasukan tangga keempat, Atalanta, yang memiliki kelebihan satu perlawanan.