Ibrahimovic beri bayangan kekal bersama LA Galaxy

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2018 174
Ibrahimovic beri bayangan kekal bersama LA Galaxy
Zlatan Ibrahimovic memberi bayangan akan kekal bersama LA Galaxy walaupun dikaitkan dengan perpindahan kembali ke AC Milan.

Ibrahimovic, 37, menyertai Galaxy, Mac lalu, selepas meninggalkan Manchester United dan dia pantas memberikan impak dalam musim pertama dengan menyumbat 22 gol dalam 27 penampilan.

Peledak berpengalaman itu dikaitkan dengan perpindahan semula ke Eropah serta Milan, Januari ini, sambil kelab Serie A itu dikatakan mahu merombak barisan depan.

Namun, Pengarah Sukan Milan, Leonardo, menolak spekulasi itu awal bulan ini memandangkan Ibrahimovic dilihat setia bersama Galaxy tatkala bintang dari Sweden itu tampak akan kekal di Amerika Syarikat.

Dalam satu video menerusi laman Twitter peribadinya, Ibrahimovic memberitahu: "MLZ, saya belum selesai dengan anda."

Ibrahimovic menikmati karier yang panjang dan gemilang apabila menyinar bersama beberapa kelab besar Eropah. Selain Milan dan United, dia pernah membintangi Juventus, Inter Milan, Ajax, Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) sambil memenangi deretan trofi bersama setiap kelab.

Dia berpindah ke Amerika Syarikat selepas pulih daripada kecederaan lutut pada April 2017 dan menyertai Galaxy.

Dalam penampilan pertama, dia masuk selaku pemain gantian sebelum menyumbat gol hebat hasil sepakan separa voli dari jarak 45 ela serta tandukan, membantu Galaxy bangkit daripada ketinggalan 3-0 untuk menang 4-3 ke atas seteru utama, Los Angeles FC.

Bagaimanapun, Galaxy terlepas slot play off susulan sekadar menamatkan musim ini di tempat ketujuh dalam Persidangan Barat.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen