Zlatan Ibrahimovic masih belum pasti mengenai masa depannya bersama Milan ketika saingan berbaki tiga perlawanan musim ini.

Penyerang bintang itu meledak dua gol ketiak Milan mengatasi Sassuolo 2-1 dalam aksi Serie A awal pagi tadi.

Ketika Ibrahimovic hanya memiliki kontrak bersama Milan sehingga penghujung musim ini, kelab telah mengumumkan telah melanjutkan khidmat ketua jurulatih, Stefano Pioli sehingga 2022.

Ibrahimovic, bercakap ketika tidak menyedari pengumuman terhadap Pioli, menyatakan tidak pasti mengenai masa depannya.

"Saya masih lagi memiliki tiga perlawanan, 10 hari, tiada siapa yang berkata apa-apa dengan saya dan saya tidak menjangkakan apa-apa daripada orang lain," katanya.

"Kami bermain dengan penuh berkeyakinan dan percaya dengan kemampuan kami."
Milan kini tidak tewas dalam 10 perlawanan sejak saingan bersambung bulan lalu dan kini di tangga kelima liga.

Ibrahimovic, yang meledak lapan gol dalam 17 perlawana musim ini, memuji prestasi Milan.

"Saya bertugas dengan baik, pasukan juga bermain dengan prestasi yang berkualiti. Kami akan meneruskan momentum ini sehingga tamat saingan liga."

Milan kembali beraksi Jumaat ini apabila menerima kunjungan Atalanta.