Zlatan Ibrahimovic seorang yang mementingkan kesempurnaan dan akan "membunuh" rakan sepasukannya jika mereka tidak memberikan 100 peratus, kata pemain tengah AC Milan, Ismael Bennacer.

Penyerang berusia 38 tahun itu, yang menyertai Milan pada Januari lalu, sekali lagi membuktikan keupayaannya dengan menghasilkan dua gol dan satu bantuan jaringan ketika pasukan itu menewaskan Sampdoria 4-1 kelmarin.

Ia menyaksikan Ibrahimovic telah menjaringkan sembilan gol daripada 17 penampilan Serie A musim ini dan membantu Milan melonjak ke tangga keenam.

Pengarah Milan, Ricky Massara, mengesahkan kelab itu sedang dalam perbincangan dengan Ibrahimovic untuk memanjangkan tempohnya di San Siro dan Bennacer memuji pengaruh pemain berbangsa Sweden itu di dalam bilik persalinan.

"Sudah pasti amat baik untuk dapat bermain bersamanya, " katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia membantu anda untuk memberikan lebih -- anda sentiasa tidak mahu kehilangan bola dan memberikan yang terbaik kerana dia mementingkan kesempurnaan.

"Jika dia tidak melihat kesempurnaan itu, dia akan membunuh anda, ia seperti itu.

"Tetapi bagi saya, caranya itu betul -- adalah lebih baik untuk dijerit ketika melakukan kesilapan kerana anda akan belajar dan menjadi pemain di tahap tinggi," katanya.

Bennacer antara pemain yang memaparkan aksi tekal buat Milan, yang tidak pernah tewas dalam 12 perlawanan sebaik liga itu bersambung bulan lalu.

Pemain kebangsaan Algeria itu telah beraksi dalam 11 perlawanan dan berharap Milan dapat berusaha untuk menamatkan musim depan dalam kelompok empat teratas.

"Kami berada dalam kedudukan ke saingan Eropah dan ia amat baik.

"Kami akan mencuba untuk ke Liga Juara-Juara tahun depan dan memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Tahun ini, saya amat gembira dengan pasukan ini.

"Kami bertambah baik dan ia merupakan tahun terbaik buat saya. Saya sudah banyak meningkat," tambahnya.