Iaquinta dihukum penjara dua tahun

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2018 818
Iaquinta dihukum penjara dua tahun
Bekas penyerang Itali dan Juventus, Vincenzi Iaquinta, dihukum penjara dua tahun selepas didakwa terlibat dengan pemilikan senjata api secara tidak sah, namun pertuduhan penglibatannya bersama kumpulan mafia Calabrian, The 'Ndrangheta, digugurkan pihak mahkamah.

Mahkamah mendakwa bekas penyerang yang merupakan sebahagian daripada skuad juara dunia Itali pada 2006 itu didapati memiliki dua senjata api dengan 126 peluru yang diperoleh daripada bapanya, Giuseppe Iaquinta, tanpa keizinan pihak berkuasa.

Giuseppe Iaquinta telah digantung daripada pemilikan sebarang senjata api pada 2012 disebabkan penglibatannya bersama kumpulan 'Ndrangheta. Dia kemudian dihukum penjara selama 19 tahun akibat penglibatannya bersama kumpulan mafia dalam satu gerak gempur yang melibatkan 160 tahanan, semalam.

Vincenzo Iaquinta, bagaimanapun, menafikan hubungan keluarganya bersama kumpulan mafia.

"Kami tidak pernah tahu apa kaitan 'Ndrangheta dengan keluarga kami.

"Ia sesuatu yang mustahil.

"Mereka memusnahkan hidup saya hanya kerana saya seorang Calabrian.

"Saya menderita seperti seekor anjing untuk mempertahankan keluarga dan anak saya tanpa sebarang sebab.

"Saya memenangi Piala Dunia sebelum ini dan saya berbangga sebagai seorang Calabrian.

"Kami tidak terlibat. Kami tiada kaitan dengan 'Ndrangheta," kata Iaquinta di luar mahkamah.

Berdasarkan undang-undang Itali, individu berusia 38 tahun itu masih berhak mengemukakan dua rayuan sebelum pihak mahkamah memuktamadkan hukuman.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen